LIGA Super Malaysia berdepan dengan keadaan dramatik apabila hanya dua pasukan, iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kedah Darul Aman FC, masih belum melunaskan tunggakan bayaran gaji pemain.

Pihak First Instance Body (FIB) pula telah memberi tempoh sehingga 30 Mac 2024 (tarikh kedua) untuk kedua-dua kelab itu menyelesaikan pembayaran bagi membersikan nama baik pasukan demi kekal berada di saingan Liga Super 2024-2025.

FLASH SUKAN telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, untuk mendapatkan status dan maklumat terkini tentang kedua-dua pasukan tersebut.

Ujar Stuart, pihak MFL sedang menjalankan proses semakan dan penelitian terhadap segala dokumen yang sudah dihantar oleh Kedah dan KL City FC.

Stuart (kiri) mendedahkan pihak MFL  dalam proses untuk membuat semakan.

“Maaf kerana hari ini kami sedang menyemak dokumen-dokumen berkaitan. Penghantaran dokumen tersebut adalah pada Sabtu lepas, dan unit semakan sedang melakukan kerja mereka untuk tempoh satu atau dua hari ini.

“Penting sekali, kedua-dua pasukan ada menyerahkan dokumen dan kami sedang dalam proses untuk membuat semakan,” ujarnya.

Terdahulu, pihak FIB melalui MFL ada menyatakan penalti yang akan dikenakan kepada kedua-dua pasukan itu, jika mereka gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan berkenaan pada tarikh 30 Mac.

Pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim ini serta denda sebanyak RM50,000 perlu dihadap oleh KL City dan Kedah FC jika mereka nyata tidak dapat melunaskan tunggakan berkenaan.

Artikel Berkaitan: “KL City FC dan Kedah gagal bayar 50 peratus gaji tertunggak” – FIB