STADIUM Shah Alam sedang mengikut jadual untuk proses perobohan dengan segala spesifikasi dibuat adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang ditemubual secara eksklusif ketika Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Segala proses perlu melalui beberapa ujian bagi memastikan ianya selamat serta tidak mengganggu kawasan persekitaran stadium dan Menteri Besar sendiri sudah diberikan taklimat tentang progres yang dijalankan.

Stadium Shah Alam bakal jalani proses perobohan

“Proses perobohan Stadium Shah Alam mengikut jadual yang ditetapkan. Hoarding telah dipasang untuk mengelak kecurian dan beberapa ujian akan dijalankan sebelum proses perobohan dilakukan dengan kebenaran MBSA untuk memastikan ianya selamat dan tidak menggangu kawasan persekitaran.

“Pihak MRCB juga telah mengeluarkan tender dan akan memulakan proses dalam masa terdekat dan saya sudah diberikan taklimat tentang projek stadium baharu itu dan yakin akan siap pada akhir tahun 2026 dan boleh digunakan selepas itu,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Stadium yang siap dibina pada 1994 itu dan menjadi gelanggang bersejarah bola sepak Selangor bakal menjadi sejarah selepas berada dalam keadaan yang kurang memuaskan hingga memaksa skuad Gergasi Merah terpaksa berpindah dari satu venue ke venue yang lain.

Selangor FC akan kekal di Stadium MBPJ hingga musim 2026-2027

Berikutan situasi tersebut, pihak kerajaan negeri sepakat untuk merobohkan stadium ini dan membina Kompleks Sukan baharu yang lebih canggih dan menepati kehendak bola sepak moden.

Namun projek perobohan yang diumumkan pada Januari 2023 itu masih tergendala tetapi atas jaminan baharu yang diberikan oleh Menteri Besar itu, projek Kompleks Sukan Shah Alam ini bakal menjadi kenyataan.