PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur terpaksa mengharungi episod baharu perubahan sukan sepak dunia yang mahu menggunakan sistem kiaraan 15 mata, bermula Februari tahun hadapan.

Malah, badan induk sukan sepak takraw negara itu, perlu cepat melaksanakan program menggunakan sistem kiraan mata itu, ketika mempersiapkan skuad negara menghadapi tiga kejohanan besar 2024, iaitu Piala Asia di Korea (April), Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur (17-27 Mei) dan Piala Raja Thai (Julai).

Selepas menghantar surat cadangan penangguhan penggunaan sistem kiraan itu kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) bulan lalu, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan mengakui terpaksa akur, namun sekurang-kurangnya Istaf menukar format servis.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan akur penggunaan sistem 15 mata.

“PSM sudah beri cadangan sebelum ini tetapi keputusan sudah dibuat jadi kita kena ikut (sistem 15 mata 1 servis).

“Sebelum ini PSM sudah mengadakan perlawanan ujian menggunakan kiraan 15 mata, Cuma kita tidak melaksanakannya dengan tiga servis namun ia tidak sesuai kerana memendekkan tempoh perlawanan sehingga hilang kesenian sepak takraw itu,” kata Sumali, selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM, di pejabatnya di Tasik Titiwangsa.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM berlangsung di pejabat badan induk sukan itu di Tasik Titiwangsa.

Dalam pada itu, pada mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) pagi ini, PSM telah menghantar senarai nama skuad kebangsaan lelaki dan wanita, dalam perancangan menghadapi kejohanan tahun hadapan.

“Dalam mesyuarat pagi tadi, kita mendapat respons positif apabila semua cadangan kepada MSN dipersetujui.

“Antaranya, cadangan pembentukan skkuad Malaysia B yang dibarisi pemain bawah 21 tahun. Mereka akan menjalani latihan berfasa membabitkan empat kali setahun selain menjalani latihan di luar negara.

“Kita juga menyerahkan 14 nama senarai pemain kebangsaan lelaki dan empat lagi masih belum diisi untuk memberi ruang membuat pemilihan terakhir selepas Piala Emas Khir Johari Januari nanti. Namun setakat ini kita sudah menghantar empat tekong, lima killer dan lima feeder,” kata Sumali.