BEBERAPA nama termasuk tekong emas Hiroshima, Ahmad Jais Baharun, berada dalam senarai Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menggalas tugasan sebagai ketua barisan kejurulatihan kebangsaan.
Begitupun PSM masih berteka-teki mengenai hal itu dan hanya akan memuktamadkan nama ketua jurulatih skuad kebangsaan baharu dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan badan induk berkenaan malam ini.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Halim Suleiman turut akan memutuskan senarai nama kejurulatihan dan pemain yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.
Sebelum ini, nama tekong pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994, Ahmad Jais Baharun digembar-gemburkan bakal memegang jawatan sebagai ketua jurulatih baharu dan hal itu tidak dinafikan Presiden PSM itu.
“Malam ini Datuk Halim selaku Pengerusi Pemilihan akan bermesyuarat dan berbincang dengan beberapa ahli jawatankuasa memilih pemain dan jurulatih. Secara dasarnya, mesyuarat JKK (MSN) tadi memutuskan mengenai jumlah jurulatih dan pemain. Itu yang kita akan buat dulu.
“Antaranya nama Ahmad Jais (selain) beberapa (senarai nama) cadangan lain. Itu akan diputuskan malam ini oleh Jawatankuasa Pemilihan dipengerusikan Datuk Halim,” kata Sumali selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN.
Begitupun, beliau berkata, keputusan mesyuarat malam ini hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ahmad Jais bukan nama asing dalam arena sepak takraw negara dan pernah mengemudi pasukan Johor menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari buat julung kalinya, Disember tahun lalu.
Sukan SEA Kemboja 2023 dijadual mempertandingkan 22 pingat emas untuk sukan sepak takraw termasuk acara chinlone.
“Kita akan cuba menyertai chinlone. Dalam perbincangan tadi belum putuskan kerana ia diletakkan di bawah Kategori B. Perbincangan tadi hanya memutuskan mengenai penyertaan dan jumlah pemain, itu sudah (diputuskan),” katanya.
Sementara itu, Halim berkata, pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, pihaknya menyenaraikan 12 nama jurulatih untuk dicadangkan namun MSN meminta dikurangkan separuh daripada permintaan PSM.