PERSATUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) telah menganugerahkan penghormatan tertinggi kepada Malaysia sebagai tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw yang bakal berlangsung dari 17 hingga 27 Mei 2024.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu mempunyai sekurang-kurangnya AS$500,000 bersamaan RM2 juta lebih untuk menganjurkan kejohanan edisi kedua ini.

Dalam masa yang sama, Datuk Abdul Halim Kader selaku Setiausaha Agung ISTAF turut menyatakan, kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini akan melibatkan 20 buah negara dalam pertandingan regu dan quadrant untuk lelaki dan wanita.

“Kami telah memberi pengiktirafan kepada PSM untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw pada bulan Mei tahun depan di Titiwangsa.

“Selain itu, kami juga bersetuju dengan cadangan PSM untuk mengadakan pertandingan kategori campuran, meskipun keputusan akhir bergantung kepada pihak PSM sendiri,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Presiden PSM Datuk Sumali Reduan yakin pihaknya tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam mencari dana untuk kejohanan tersebut.

“Kami masih dalam proses perbincangan mengenai dana dan saya yakin kami tidak akan mengalami kesulitan untuk mendapatkan peruntukan dan penaja utama pada tahun depan,” katanya.

Untuk rekod, Piala Dunia Sepak Takraw edisi lalu telah diadakan pada November 2022 di Korea Selatan dengan Malaysia berjaya memenangi satu perak dan satu gangsa dalam pertandingan yang melibatkan 13 negara.