PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) mengakui menjadikan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri sebagai penanda aras dalam proses penambahbaikan berterusan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faidz Sanusi menyifatkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mencapai standard yang telah diletakkan oleh stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berdasarkan input yang diperolehi dari pelbagai pihak.

PSM juga turut berkomunikasi dengan pengurusan skuad kebangsaan mengenai apa yang mereka perlukan dan pihaknya kini sedang membuat penambahbaikan bagi mencapai kehendak Harimau Malaya.

“Kita sudah mendapat maklum balas daripada Kim Pan-gon mengenai keperluan mereka dan dia nyatakan supaya mengikut fasiliti seperti di Stadium Sultan Ibrahim yang dilengkapi bilik persalinan, gimnasium dan ‘cool down room’ untuk pemain selepas perlawanan.

“Sekarang ini kita sedang dalam proses tambah baik lagi fasiliti yang ada dan penanda aras PSM untuk Stadium Nasional Bukit Jalil adalah Stadium Sultan Ibrahim,” katanya ketika sidang media Majlis Perasmian Padang Baharu yang disempurnakan Tunku Mahkota Johor.

Faidz turut menyatakan bahawa pihaknya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berbincang mengenai penjadualan pasukan kebangsaan bagi memastikan ianya tidak bertindih dengan acara komersil yang lain.

“Antara perbincangan dengan pihak FAM adalah kita kini mempunyai jadual acara sukan dan keutamaan diberikan kepada Harimau Malaya bagi memastikan ianya tidak bertindih dengan acara komersil lain yang diadakan di stadium ini,” jelasnya.

Selepas ditutup selama enam bulan, Stadium Nasional ini akan digunakan untuk Kejohanan Pestabola Merdeka yang bermula esok serta Kelayakan Piala Dunia 2026 pada November dan perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada pertengahan Disember.