MALAYSIA mahu jadi tuan rumah bebas kontroversi pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan membuka tirai saingan esok (Sabtu) hingga 26 Mei ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya bersama Persekutuan Sepaktakraw Dunia (Istaf) akan sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam usaha memastikan tiada sebarang isu, terutamanya melibatkan bantahan pengadilan.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan yakin, usaha terbaik sudah dilakukan bagi memastikan Piala Dunia Sepak Takraw bebas kontroversi. 

“Harap tak ada kontroversi. Kita sudah banyak kali bermesyuarat, malam tadi sahaja sudah ada taklimat tentang ‘challenge’ sahaja dan saya difahamkan taklimat itu diberikan oleh Istaf. Kalau ada kontroversi sedikit-sedikit itu biasa… mana ada yang sempurna,” kata Sumali, selepas Majlis Perasmian Piala Dunia Kuala Lumpur 2024 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha untuk menganjurkan kejohanan terbaik sudah dilakukan.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam merasmikan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024.

Sebanyak 21 buah negara akan berentap dalam kejohanan dunia itu dengan 12 negara akan bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia manakala sembilan negara berentap dalam Divisyen 1, dibarisi antaranya Iran, Jerman, Arab Saudi dan Pakistan.

Saingan berpasukan yang merupakan acara tumpuan, skuad sepak takraw negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Brunei, dan Malaysia perlu sekurang-kurangnya muncul naib juara kumpulan untuk layak ke suku akhir.

Dalam kategori regu pula, Malaysia sekali lagi mendapat laluan mudah apabila diundi bersama China dan Brunei dalam Kumpulan B manakala saingan double pula, menyaksikan skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei.

Esok, Malaysia memulakan saingan acara regu menentang China, pada jam 9.30 malam.