SELEPAS berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersetuju untuk menerima tawaran sebagai penganjur Piala Asia 2025, namun dua faktor kriteria utama perlu diteliti sebelum dalam memastikannya kenyataan.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selepas meneliti dua faktor utama itu barulah pihaknya akan mengumumkan tarikh kejohanan dan format kejohanan itu sendiri.

Menurutnya, dana dan takwim PSM pada tahun depan perlu diteliti kerana PSM juga akan sibuk mempersiap pasukan ke Temasya Sukan Sea di Bangkok, Thailand.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan.

“Pada dasarnya PSM menerima tawaran daripada Astaf (Persekutuan Sepaktakraw Asia) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2025.

“Sebelum menjadikannya kenyataan, kita perlu perhalusi dan pertimbangkan dua perkara itu kerana kita akan berdepan jadual yang padat selain perlu mengumpul dana untuk penganjuran.

“Kita mempunyai kejohanan besar iaitu Sukan Sea Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan beberapa kejohanan lagi.

“Sekarang ini jawatankuasa menyerahkan kepada saya selaku presiden dan juga kepada naib presiden untuk putuskan tindakan selanjutnya,” katanya, selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan itu, pada Ahad.

Aksi pasukan negara ketika menentang Brunei di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Mei lepas.

Justeru, Sumali akan membawa perkara itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk berbincang sama ada mahu meneruskan penganjuran pada tahun depan atau memberi laluan kepada kejohanan lain terlebih dahulu.

Terdahulu Presiden Astaf Datuk Abdul Halim Kader menerusi kenyataan memberitahu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Astaf sebulat suara bersetuju melantik Malaysia selaku tuan rumah Piala Asia 2025.

Ujar Sumali, segala kemungkinan boleh berlaku dan PSM juga mungkin boleh menjadikan kejohanan terbabit melibatkan peserta bawah 23 tahun (B-23) dan sebagainya.

Sementara itu, pada itu, Mesyuarat Agung Tahunan PSM yang dijalankan selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM, menyaksikan skuad takraw negara menerima insentif khas berjumlah RM170,000 yang dijanjikan MSN susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bulan lalu.

Sebelum ini, MSN meluluskan pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing kepada pasukan regu dan double berikutan kejayaan muncul juara, manakala regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000.

Cek disampaikan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.