SERAMAI 15 pemain sepak takraw negara disenarai pendek untuk ke Sukan Asia Hangzhou September depan, namun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih perlu menyingkir tiga lagi pemain, selepas persiapan terakhir di Thailand, awal September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, setakat ini, PSM sudah mengenepikan 10 pemain dalam senarai panjang dan hanya akan membawa 15 pemain untuk latihan fasa akhir di Ratchaburi dan penyertaan di Piala Pattaya.
“Senarai 15 pemain ini adalah yang terbaik kita ada setakat ini namun perlu dipendekkan lagi kerana hanya 12 pemain dibenarkan untuk disenaraikan ke temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.
“Pemain-pemain yang disenarai pendek ini akan menyertai latihan fasa akhir di Ratchaburi, Thailand, bermula 17 hingga 30 Ogos, sebelum mereka menyertai kejohanan Piala Pattaya (31 Ogos hingga 4 September).
“Piala Pattaya menjadi medan pemilihan terakhir 12 pemain yang akan dibawa ke Hangzhou dalam misi perburuan pingat emas,” kata Abdul Halim dalam sidang media di ibu negara.
Menurutnya, senarai 15 pemain yang dimumumkan terdiri daripada masing-masing lima tekong, apit kanan dan apit kiri.
Senarai tekong yang dipilih ke Thailand adalah Mohammad Syahir Mohd Rosdi; Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican; Muhammad Haziq Hairul Nizam; Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir.
Apit kanan pula disertai Muhammad Noraizat Mohd Nordin; Muhammad Afifuddin Mohd Razali; Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar; Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Mohamad Azlan Alias.
Bagi apit kiri, ia disertai Amirul Zazwan Amir; Mohd Muqlis Borhan; Aidil Aiman Azwawi; Muhammad Zaim Razali dan Farhan Adam.
“Kita ada lima apit kiri antaranya Farhan. Daripada lima ini, kita akan senarai pendek jadi empat sebab kita akan hantar empat tekong, empat apit kanan dan kiri. Sebab itu, kita akan menilai kembali prestasi pemain ini melalui Piala Pattaya. Di situlah penilaian terakhir (untuk ke Sukan Asia),” kata Abdul Halim.