MOHAMMAD Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam antara tonggak yang disenaraikan dalam 25 pemain dalam Program Sukan SEA 2023 dan Sukan Asia 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman berkata,  25 pemain itu dipilih PSM selepas mengadakan sesi pemilihan dan ujian kecergasan skuad lelaki sepak takraw Kebangsaan pada 24 hingga 26 Februari lalu.

Menurutnya, 25 pemain terbabit akan mula menjalani latihan pusat 1 Mac ini (esok) namun PSM hanya 12 yang akan menggalas cabaran di Sukan Sea Kemboja 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman mengumumkan 25 pemain untuk Program 2023, senarai akhir 12 pemain ke Sukan Sea Kemboja pada April.

“Setelah berbincang dari sudut kecergasan pemain pada latihan TID (program pencarian bakat), kita buat keputusan seramai 25 orang terpilih ini kita akan bawa ke Sukan Sea Kemboja.

“Kesemua mereka ini akan dipanggil ke latihan pusat yang mana kerangka latihan dan juga pertandingan akan diketuai oleh ketua jurulatih Ahmad Jais Baharom,” kata Abdul Halim.

Difahamkan, selain latihan intensif, pemain dijangka menjalani latihan dan mengambil bahagian dalam pertandingan di luar negara.

“Hanya 12 orang yang akan membawa cabaran Malaysia di temasya itu. Nama-nama itu kita akan umum selewat-lewatnya pada bulan empat bergantung kepada prestasi saingan antara mereka (pemain),” katanya.

Dalam pada itu, Halim turut mengumumkan sasaran baharu PSM iaitu satu emas bagi temasya Sukan Sea Kemboja menerusi acara double.

Sasaran itu dianggap realistik berdasarkan kemelut yang persatuan melanda persatuan sebelum ini.

Pada temasya Sukan Sea Hanoi tahun lalu, skuad sepak takraw gagal membawa pulang pingat emas dan sekadar meraih tiga perak dan satu gangsa.