BERSEMPENA dengan kerja-kerja penggantian rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil kelak, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kini menawarkan rumput sedia ada secara percuma kepada orang awam pada 31 Mac 2023.
Mereka yang berminat boleh datang sendiri ke Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi ‘ramp‘ 32 dan mengambil rumput itu pada kadar siapa cepat dia dapat bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari jam 3 hingga 5 petang.
Setiap orang awam ditawarkan maksimum empat petak rumput padang berukuran 1×1 kaki dan sesiapa yang berminat perlu membawa bekas yang bersesuaian untuk mengisi rumput-rumput tersebut.
BERITA BAIK!
Sempena dengan kerja-kerja penggantian rumput padang Stadium Nasional kelak, Perbadanan Stadium Malaysia ingin menawarkan rumput sedia ada secara PERCUMA kepada orang awam pada 31 Mac 2023 (Jumaat).'First come first serve'!#PSM #25TahunKLSC pic.twitter.com/tir2eZwR1L
— Perbadanan Stadium Malaysia (@StadiumMalaysia) March 30, 2023
Perkara ini juga dilakukan adalah sebagai tanda penghargaan daripada PSM kepada orang ramai sempena ulang tahun ke-25 mereka menjaga dan menyelenggara keseluruhan Kompleks Sukan KL Sports City.
Sebelum ini, Kementerian Belia Dan Sukan KBS menerusi menterinya, Hannah Yeoh mengumumkan penukaran rumput Stadium Nasional Bukit Jalil kepada rumput jenis Zeon Zoysia yang lebih berdaya tahan selepas mendapat kurniaan daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Stadium Nasional Bukit Jalil juga akan ditambah baik bagi memastikan ianya mematuhi piawaian antarabangsa dan selesa digunakan untuk pelbagai acara seperti sukan dan konsert.
Ini adalah peluang terbaik buat para penyokong bola sepak yang mahu menjadikan padang stadium ini sebagai memorabilia dan kenangan sebelum rumput baharu ditanam dan menaikkan imej stadium kebanggaan negara ini.