PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memecat Indra Sjafri daripada jawatan ketua jurulatih skuad bawah 20 tahun (B-20) Indonesia. Keputusan ini diambil susulan kegagalan pasukan itu dalam saingan Piala Asia B-20 2025 di Shenzhen, China.
Sebelum ini, Indra Sjafri telah menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kegagalan skuad muda Indonesia yang tersingkir di peringkat kumpulan kejohanan tersebut.
“Selepas kami di PSSI, termasuk saya, timbalan pengerusi, serta ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) mengadakan sesi penilaian, kami memutuskan untuk melepaskan coach Indra Sjafri sebagai ketua jurulatih skuad B-20 serta skuad persiapan Sukan SEA/Sukan Asia.
“Saya secara peribadi dan juga PSSI amat berterima kasih atas jasa serta kerja keras coach Indra sepanjang mengendalikan Garuda Muda sehingga berjaya meraih gelaran juara AFF serta layak ke Piala Asia,” kata Ketua Umum PSSI, Erick Thohir, menerusi laman rasmi PSSI pada Ahad.
Nama Indra Sjafri menjadi topik hangat selepas kegagalannya membawa skuad Indonesia B-20 ke suku akhir Piala Asia B-20 2025, seperti yang disasarkan oleh PSSI.
Indra sendiri sebelum ini telah menyatakan kesediaannya untuk dinilai, termasuk menerima kemungkinan dipecat. Baginya, setelah tugasnya selesai, apa sahaja keputusan PSSI akan diterima dengan penuh rasa hormat.
PSSI kini sedang mencari calon pengganti Indra bagi meneruskan program pembangunan bola sepak usia muda yang telah berjalan sejak dua tahun lalu.
“Keputusan untuk melepaskan coach Indra dibuat secara profesional. Ini bermakna coach Indra juga memahami dan menerima keputusan tersebut. Dari segi peribadi dan organisasi, hubungan kami tetap baik. Coach Indra masih dan akan terus menjadi sebahagian daripada bola sepak Indonesia,” jelas Erick lagi.
Indra Sjafri sememangnya memiliki rekod cemerlang dalam melatih pasukan muda. Beliau telah dua kali membawa pasukan Indonesia B-19 menjuarai Piala AFF serta memimpin pasukan B-23 menjuarai temasya Sukan SEA 2023.
Foto kredit: Risky suarasurabaya.net