PERTAHANAN skuad kebangsaan Indonesia dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan cuba memberikan aksi terbaik untuk menyekat Lionel Messi apabila kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jun.

Meskipun pernah merantai Messi ketika bermain bersama Rayo Vallecano di La Liga sebelum ini, Jordi menganggap perlawanan kali ini lebih penting kerana bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri dan yakin Indonesia mampu melakukan kejutan terhadap juara Piala Dunia Fifa Qatar 2022 itu.

Nama Jordi turut disenaraikan dalam senarai 26 pemain yang dipilih oleh Ketua Jurulatih, Shin Tae-yong untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Palestin di Surabaya dan Argentina di Jakarta.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk sekat Messi kerana saya pernah lakukannya ketika bermain di La Liga dahulu. Ianya aksi yang baik buat Indonesia kerana dapat bertemu pasukan yang besar seperti Argentina untuk bermain bersama kami di stadium kami dihadapan penyokong kami.

“Saya harap mereka dapat bantu kembangkan bola sepak di Indonesia dan berharap kami dapat keputusan yang baik meskipun sukar tetapi pelbagai perkara boleh berlaku kerana suasana dan cuaca disini sangat panas dan mereka perlu adaptasi dengan cepat,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Iskandar Puteri.

Pemain warisan itu juga menganggap perlawanan menentang Argentina itu adalah sebagai persiapan terbaik buat Indonesia ke Piala Asia AFC Qatar 2024 dan memuji tindakan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang melakukan perlawanan antarabangsa yang kompetitif ini.

Jordi Amat (kiri) bersama rakan sepasukan di Timnas Indonesia .

“PSSI melakukan banyak perkara dan mereka akan memanggil kami untuk latihan lebih awal pada Jun dan kami akan bertemu Palestin terlebih dahalu. Ianya baik untuk kami bertemu pasukan kuat seperti Argentina ini kerana ianya adalah sebagai persediaan buat kami ke Piala Asia tahun hadapan,” tambahnya.

Sementara itu Ketua Umum PSSI, Erick Thohir mengumumkan harga tiket untuk perlawanan bertemu Argentina itu akan dijual bermula 6 Jun 2023 dengan harga berkisar dari RM185 (Rp600,000) hingga RM1,300 (Rp4,250,000).