PENDATANG baharu Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship 2024-25, PT Athletic FC bersedia mengharungi cabaran liga tier ketiga negara dengan meletakkan sasaran merebut slot ke Liga Super musim 2025-26.
Ditunjangi beberapa pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah, Indra Putra Mahyuddin, Latiff Suhaimi dan Syazwan Zainon, pengurusan PT Athletic tidak mahu menoleh kebelakang dalam memburu kejuaraan.
Pengendali pasukan, Nazrulerwan Makmor menjelaskan dia yakin dengan persiapan pasukannya dan dia menghormati sasaran pengurusan meskipun dia sendiri meletakkannya sasaran lima teratas liga.
“Persiapan kami amat terurus dan bagus dan bersedia untuk beraksi dalam liga ini. Pramusim sangat bagus buat kami kerana tanpa kalah tetapi apa yang penting adalah ketika dalam liga kami mampu bersaing dengan semua pasukan.
“Sasaran pengurusan adalah untuk layak ke Liga Super tetapi sasaran individu saya adalah lima teratas liga dengan kekuatan yang ada pada para pemain terutama dari pemain-pemain senior,” katanya ketika majlis pelancaran jersi pasukan di Putrajaya pada Ahad.
Nazrulerwan juga mengakui dia berbangga kerana dapat mengendalikan bekas rakan-rakan sepasukannya dahulu dan dia rasakan tidak ada masalah untuk membentuk keserasian antara pemain senior dan baharu.
PT Athletic FC juga akan mengambil dua pemain import dari Afrika yang akan bermain di posisi penyerang dan kini tertakluk kepada pendaftaran lesen ITC mereka dan Nazrulerwan yakin pasukannya tidak memerlukan pemain import untuk di posisi pertahanan.
Bekas pemain Selangor itu juga memilih juara bertahan, Imigresen FC sebagai pasukan pilihan selain KL Rovers dan Gombak FC namun dia tidak menolak kemungkinan saingan daripada semua pasukan yang bertanding.