PERSEKUTUAN Tinju Malaysia (PTM) akan menghantar petinju muda negara Muhammad Abdul Qaiyum Arifin, menjalani latihan bersama skuad tinju Thailand.

Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli berkata, perancangan itu dibuat bagi membolehkan petinju negara terutamanya mendapat ilmu terbaik dan di tahap lebih tinggi.

“Mungkin selepas ini akan ada jurulatih baharu, kita juga akan menghantar atlet seperti Mohd Aswan Che Azmi dan Muhammad Abdul Qaiyum Arifin, yang berbakat, mengikuti lebih banyak kejohanan di luar negara.

Qaiyum, petinju berbakat negara.

“Saya juga sudah berbincang dengan presiden persatuan tinju Thailand, hubungan kami rapat dan saya cuba berkerjasama dengan mereka.

“Thailand melahirkan ramai atlet yang beraksi ke Olimpik dan mereka sanggup berkerjasama, dan nanti kita akan hantar Qaiyum ke Thailand, ikut pasukan tinju Thailand berlatih di luar negara.

“Mungkin akan menghantar petinju ke Kazakhstan atau India,” katanya.

Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli merancang mengambil jurulatih baharu, menghantar petinju berlatih bersama Thailand dan menghantar atlet ke lebih banyak pertandingan di luar negara.

Mengulas mengenai penyertaan Qaiyum di Sukan Asia ke-19 kali ini, beliau berkata, corak Qaiyum bertinju sudah bagus cuma lawannya Deepak (India) cukup berpengalaman.

Pada perlawanan pusingan kelayakan lelaki 46-51 kilogram (kg), Qaiyum tewas kepada petinju India itu 5-0.

Kini kem tinju mengharapkan Aswan untuk beraksi dengan baik dalam kategori lelaki 63.5-71kg, apabila dijadual menentang petinju Kuwait, Ali Taher.