KEJOHANAN Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) yang terpaksa dihentikan selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19, kini kembali menemui peminat dan akan menghiasi saingan liga wanita kebangsaan.
Jurulatih skuad wanita Melaka United, S. Ganesan Pillay bakal mempertaruhkan barisan pemain baharu untuk digabungkan dengan beberapa pemain berpengalaman bagi menghadapi saingan edisi kali ini yang diadakan di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, beberapa siri perlawanan persahabatan telah menampakkan keserasian pemain lama dan baharu dan sedia mempertahankan kejuaraan pada 2019.
“Persiapan pasukan Melaka kali ini bakal tampil dengan beberapa muka baharu. Jadi kita akan cuba sedaya upaya mempertahankan kejuaraan pada tahun 2019.
“Apabila di padang, baharu kita boleh jawab dengan persembahan kami tetapi dalam siri persahabatan yang diadakan, keserasian memang ada,” katanya semasa menghadiri Sidang Media Pra-Perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sementara itu, jurulatih wanita Selangor FC, Abdul Razak Saleh mengakui kelebihan bermain di laman sendiri sedikit memberi kelebihan kepada Gergasi Merah namun tidak boleh leka berhadapan mana-mana pasukan.
Jelasnya, saingan di peringkat kompetitif seperti ini akan memberi ruang kepada pemain untuk menjadi lebih matang dalam mengharungi tekanan kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya rasa pemilihan yang diadakan di Setia Alam sebelum ini memberi kelebihan sedikit kepada pasukan sebab boleh dikatakan sebagai homeground, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai kelebihan secara terus.
“Pada peringkat kejohanan sekarang, ianya di peringkat kompetitif. Cabarannya yang berbeza dari segi tekanan memang dijangkakan akan menjadi satu pertarungan dan inilah yang kita mahukan.
“Saingan begini akan mematangkan pasukan dan kelebihan bermain di Setia Alam ini diharap dapat memberi kelebihan kepada pasukan Selangor,” ujarnya.
Keputusan undian tersebut menyaksikan Kumpulan A dibarisi Pulau Pinang, SSM Pahang, Melaka United dan Sabah manakala Kumpulan B meletakkan Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kelantan dalam satu kumpulan yang sama.
Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 6 hingga 11 September ini di Setia Alam bagi semua perlawanan peringkat kumpulan dan separuh akhir manakala perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) , Cheras.
Kali terakhir kejohanan ini diadakan adalah pada 2019 sebelum terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 dua tahun berikutnya.
Edisi 2019 juga menyaksikan Melaka United muncul juara setelah menundukkan Kedah 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti apabila perlawanan masa sebenar tamat dengan keputusan terikat 0-0.