PRESIDEN Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim atau dikenali Puaka Jerai mahu pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC mengurang kesilapan mudah ketika bertemu Johor Darul Ta’zim malam ini.

Ujarnya, atas kertas pasukan Harimau Selatan itu dominan di setiap posisi tetapi ia bukanlah alasan skuad KDA FC tidak mempamerkan aksi terbaik sepanjang permainan di Stadium Darul Aman.

“Kita semua sedia maklum bahawa pasukan lawan sebuah pasukan yang cukup kuat dan terdiri daripada pemain-pemain yang berkualiti.

“Sememangnya pasukan tersebut akan membenam mana-mana pasukan yang berdepan dengan dengan depa (mereka). Untuk perlawanan malam ini, apa yang saya harapkan agar pasukan Kedah perlu berwaspada dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan berlangsung.

“Elak melakukan kesilapan mudah kerana bakal membawa padah buat pasukan kita.

“Bagi saya keputusan seri cukup sudah cukup memadai buat pasukan KDA FC,” katanya.

May be an image of 5 people, people playing football, crowd and text

Penyokong Kedah diseru penuhi Stadium Darul Aman malam ini.

Di samping itu juga, Zulkifli menggesa pasukan KDA FC perlu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri dengan sokongan dengan sorakan penyokong-penyokong Hijau Kuning.

“Dalam bola sepak ini, apa sahaja boleh berlaku di sini. Saya menyerulah agar semua penyokong Hijau Kuning datang ramai-ramai ke stadium bagi sokongan buat pasukan kesayangan kita,” tambahnya lagi yang berasal dari Yan, Kedah.

Berbaki enam perlawanan, kedudukan skuad selatan tanah air itu bagaikan sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pasukan kali ini.

Pada pusingan pertama Liga Super Malaysia 2023, Sang Kenari menjadi mangsa ‘kerakusan’ apabila dilanyak 6-0 dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 April lepas.