PERLIS United FC (PUFC) memohon maaf kepada semua penyokongnya kerana gagal memenuhi syarat tambahan yang ditetapkan oleh First Instance Body (FIB) untuk layak ke Liga Super musim 2024-2025.
Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Rozailmee Zulkiply, menyatakan bahawa mereka telah cuba merayu untuk lanjutan masa tetapi tidak berjaya.
“Maafkan kami semua peminat bola sepak Perlis. Rayuan kami untuk dapat lanjutan sedikit masa lagi gagal kali ini. Kita akan cuba lagi buat rayuan terakhir,” katanya, seperti dipetik di Facebook peribadi pada Rabu.
Rozailmee menyatakan hasrat kuat PUFC untuk diberi lebih masa bagi memenuhi keperluan tambahan itu dan kelab berharap masih ada jalan dan harapan untuk mereka.
Kegagalan PUFC untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.
Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan FIB telah mencapai keputusan untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada kelab dari utara tanah air itu.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, ia susulun kegagalan PUFC memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) Liga Bolasepak Amatur (AFL) pada 7 Mac 2024.
ARTIKEL BERKAITAN : Gagal penuhi syarat tambahan, Perlis United ‘gigit jari’ beraksi di Liga Super