LARIAN Puma Nitro Night Run kembali menghangatkan suasana di Dataran Putrajaya setelah diumum untuk menganjurkan acara berkenaan pada 16 November depan.
Lebih menarik lagi, penganjuran larian Puma kali ini turut menambah kategori separuh maraton selain mengekalkan kategori lima kilometer (km) dan 10 km.
Perkara ini turut menerima perhatian daripada Pengurus Besar Puma Malaysia, Steven Tan yang menyatakan bahawa bukan hanya acara larian sahaja, persembahan menarik, pelbagai permainan dan promosi jualan juga akan berlangsung sepanjang acara berkenaan.
“Di Puma, kami komited untuk menyediakan pengalaman larian yang luar biasa, dari peralatan berkualiti tinggi kami hingga acara itu sendiri.
“Disebabkan permintaan yang tinggi tahun ini, kami telah menambah kategori separuh maraton 21 kilometer (KM) untuk mencabar pelari kami tahun ini.
“Puma Nitro Night Run akan menjadi lebih daripada sekadar perlumbaan, sekali gus mengeratkan lagi komuniti sejagat,” ujarnya.
Dengan tema ‘elevate’ yang digunakan pada tahun ini, ia diharap agar dapat mencabar had keupayaan peserta-peserta yang mengambil bahagian sekali gus dapat melakar kenangan sambil berlari pada waktu malam.