SELEPAS sekadar seri 2-2 menentang Manchester United, Liverpool secara rasmi dipintas daripada kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) oleh Arsenal.

Walaupun tampil dominan di Old Trafford, Liverpool hanya mampu mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Luis Diaz.

Bagaimanapun, jaringan jarak jauh Bruno Fernandes menjadikan kedudukan sama 1-1 pada minit ke-50.

Manchester United malah didepan 2-1 hasil jaringan Kobbie Mainoo pada minit ke-67, sebelum gol penalti Mohamed Salah menyamakan 2-2 pada minit ke-84.

Image

Jurgen Klopp akui Liverpool mendominasi permainan, sayangnya gagal mencapai kemenangan.

Dengan keputusan ini, Liverpool secara rasmi jatuh ke tempat kedua menerusi perbezaan gol berbanding Arsenal, yang kedua-duanya mempunyai 71 mata. Arsenal sebelum ini meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Brighton & Hove Albion.

“Sepanjang masa saya menjadi jurulatih di Liverpool, saya tidak fikir kami menguasai United seperti yang kami lakukan dalam dua perlawanan ini.

“Tetapi malangnya, kami tidak mendapat keputusan yang kami mahukan,” kata Jurgen Klopp.

Sementara itu, Manchester City turut menang 4-2 ke atas Crystal Palace. Keputusan ini meletakkan mereka di tempat ketiga dengan 70 mata, hanya satu mata di belakang Liverpool dan Arsenal.

Persaingan untuk menjadi juara EPL musim ini semakin sengit, dengan Arsenal, Liverpool dan Manchester City masih mempunyai peluang yang sama untuk memenangi gelaran.

Dengan berbaki tujuh perlawanan, saingan merebut kedudukan teratas dalam kedudukan EPL diramal menjadi lebih menarik.