WAKIL beregu campuran Puchong United BC, Goh Liu Ying jelaskan faktor angin menyebabkan dia masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dalam gelanggang.
Menurutnya, dia agak tergesa-gesa untuk menyertai Kejohanan Purple League kali ini kerana hanya dipanggil pada saat akhir untuk membantu pasukan Puchong United.
Jelas pemain berusia 33 tahun itu, dia terpaksa bergegas setelah baru sahaja tewas dalam aksi di Terbuka Vietnam semalam.
“Angin kuatlah tadi. Saya pun semalam baru balik dari Vietnam.
“Bagi saya, agak tergesa-gesa untuk hari ini. Perlawanan pertama belum panas, set kedua dan ketiga baru kami dapat rentak.
“Saya rasa lain kali memang tidak akan terima panggilan saat akhir sebegini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Sementara itu, Tan Kian Meng akui pengalaman Liu Ying banyak membantunya dalam aksi menentang Serdang BC.
Biarpun telah ketinggalan pada suatu ketika, namun mereka mampu bangkit setelah tewas pada set pertama dan menang tiga set berikutnya 6-11, 11-6, 11-8, 11-9.
“Dia sangat berpengalaman. Dia banyak membantu saya dalam gelanggang. Nasib baik kami dapat atasi lawan,” ujarnya.
Puchong United akan bertemu wakil kelab Vietnam, Ho Chi Minh City BC dalam aksi kedua peringkat kumpulan Selasa depan.