KELAB Badminton Candra Wijaya memasang niat untuk menggegar kejohanan SENHENG redONE Purple League Profesional bulan depan.
Kelab yang berpengkalan di Indonesia itu akan membuat penampilan sulung mereka dalam kejohanan berprestij ini yang turut pertama kali melibatkan kelab profesional antarabangsa.
Menurut pengurus pasukan, Denny Kantono; “Para pemain sedang menjalani latihan intensif dengan misi untuk memberi cabaran buat pasukan lain. Kami juga menyasarkan untuk mara ke separuh akhir.
“Saya akui pasukan badminton Singapura dan Kelab Badminton Petaling mempunyai barisan pemain yang mantap dan mampu memberi tentangan yang sengit.”
Kantono turut yakin dengan kudrat pemain ranking ke-15 dunia Hafiz Faizal dan pemain berpengalaman Serena Kani untuk menyumbang mata buat pasukan.
Dalam pada itu, Kantono turut memuji Malaysia Purple League (MPL) yang melakukan perubahan drastik terhadap kejohanan ini dengan berjaya menarik penglibatan kelab antarabangsa.
Kelab Badminton Candra Wijaya diletakkan di dalam kumpulan A bersama-sama Kelab Badminton Ampang Jaya, Kelab Badminton Petaling dan Singapura dalam misi pemburuan ke separuh akhir.
Edisi keenam SENHENG redONE Purple League akan memulakan saingan pada 1 hingga 6 Oktober depan di Stadium Malawati Shah Alam manakala pusingan akhir akan berlangsung di 8 hingga 9 Oktober bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands.