JAGUH Perseorangan Paralimpik pasukan kebangsaan, Cheah Liek Hou akui pertemuan kali pertama bertemu pemain Singapore Badminton Team, Marcus Phil agak mencabar.
Biarpun begitu, dia pantas dapat mengesan kelemahan lawannya setelah melihat permainan Marcus menentang lawan dari Indonesia semalam.
Biarpun masih tercari-cari rentak di set pertama, Liek Hou pantas menyesuaikan diri dengan keadaan angin yang bertiup kuat di stadium tersebut.
Setelah mendapat sentuhan lamanya, dia mudah melakukan pukulan memerangkap Marcus sekaligus menang tiga set tanpa balas, 9-11, 9-11, 9-11.
“Perlawanan tadi adalah kali pertama saya bertemu dengan pemain muda ini dari Singapura, saya pun tidak pasti tahapnya di mana.
“Tetapi semalam saya ada lihat dia main bertemu dengan pasukan Indonesia, jadi saya lihat dari segi pengalaman dia kekurangan, jadi saya dapat mencuri mata di penghujung saingan.
“Set pertama saya belum dapat rentak lagi. Saya pun dalam percubaan untuk melihat pukulan dan rentak lawan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan permainan saya. Stadium ini ada angin dan saya berharap kawalan bulu tangkis selepas ini akan menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui media selepas tamat aksinya di Stadium Malawati, Shah Alam.
Kemenangan tersebut sekaligus menghadirkan mata pertama buat Petaling Badminton Club (BC) dan akan membuat perhitungan dengan kelab Indonesia, Candra Wijaya International Badminton Centre Rabu ini.