WAKIL beregu lelaki Puchong United Club, Ong Yew Sin-Teo Ee Yie akui format yang digunakan Purple League merupakan sesuatu yang unik dan berbeza dengan kejohanan lain.

Jelas Yew Sin, pemain yang lambat panas akan memiliki kelebihan dari format yang diperkenalkan Purple League kerana ia memberi peluang untuk pemain mengejar semula jika ketinggalan dalam set awal.

“Bagus juga bagi yang lambat panas. Bagi orang atasi, jika kita mahu menang kena bersedia.

“Ia agak istimewa. Kita tidak pernah lihat sebab Purple League sahaja yang adakan. Jadi kita hanya bermain dengan baik dalam format sebegini,” katanya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Sementara itu, Teo Ee Yie menyifatkan format masa yang digunakan agak memberi tekanan kerana pemain perlu mendahului sekiranya ingin menang dalam perlawanan tersebut jika tidak dapat ditamatkan dalam masa 30 minit.

“Kalau 30 minit masa dah sampai memang kita kena mendahului, kalau kita melihat masa tersebut,” ujarnya.

Dalam aksi tersebut, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menang 11-7, 11-3, 5-11, 11-6 meskipun diberi tentangan sengit wakil Serdang BC, Xin Yuan-Boon Tien Ci.