AKSI Piala FA Malaysia kembali bersambung dengan Pusingan 16 Terbaik selepas empat perlawanan pusingan pertama berlangsung yang menyaksikan dua kelab dari Liga Super, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC serta dua lagi kelab dari Liga M3, BRM FC dan Sains FC tersingkir dari kejohanan.

Lapan perlawanan melibatkan 12 kelab dari Liga Super dan empat dari Liga M3 akan berentap dengan pemenang setiap perlawanan akan ke peringkat suku akhir manakala pasukan yang tewas perlu mengucapkan selamat tinggal dan melupakan peluang untuk merebut slot ke Asia musim depan.

Dari lapan aksi, empat perlawanan menyaksikan pertemuan sama sendiri antara kelab Liga Super dengan tumpuan terarah kepada pertembungan di Iskandar Puteri apabila juara edisi 2022, JDT melayan kunjungan PDRM FC.

Kesemua mata kini tertumpu kepada aksi ini selepas JDT meletakkan kedudukan mereka pada satu tahap yang lain apabila memenangi kelapan-lapan aksi Liga Super dengan kesemua lawan menjadi mangsa belasahan dan PDRM juga dijangka bakal menerima nasib yang sama.

Pemenang pertemuan ini akan bertemu pemenang antara Kuching City FC dan Penang FC dengan skuad Harimau Kumbang dilihat sedang berada pada prestasi terbaik manakala Kuching City masih bergelut dengan enam kekalahan dari lapan perlawanan.

Negeri Sembilan FC dilihat mungkin mendapat laluan mudah di atas kertas apabila melayan kunjungan kelab M3, PIB FC namun dalam pertandingan piala ini, magis dan kejutan seringkali berlaku dan tidak boleh diramal.

Negeri Sembilan FC

Stadium MBPJ, Kelana Jaya akan menjadi medan penyingkiran sama ada Selangor FC mahupun Sri Pahang FC dengan kedua-dua pasukan sudah tentu mahu menggunakan kejohanan ini sebagai pentas ke Asia seperti yang diharapkan para penyokong.

Finalis musim lalu, Terengganu FC pula akan berhadapan pasukan yang baru dibentuk, Melaka FC dengan penyerang naturalisasi kebangsaan, Guilherme De Paula sudah pastu mahu membuktikan dirinya masih mampu muncul sebagai penyerang terbaik dan mengejutkan skuad Penyu.

Kelantan FC pastinya mahu menggunakan aksi Piala FA ini untuk menutup isu dalaman yang melanda pasukan ketika ini dan Manjung City FC yang layak selepas menewaskan Sains FC pada pusingan pertama.

Sabah FC

Sabah FC kembali semula ke Likas selepas bermain tiga perlawanan liga di tempat lawan dan akan menerima kunjungan pasukan tercorot liga ketika ini, Kelantan United dan pastinya anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee ingin menebus kehampaan dalam liga untuk layak ke peringkat seterusnya.

Finalis Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC akan memulakan cabaran untuk ke Asia sekali lagi bertemu kelab M3, Imigresen FC yang layak selepas mengenepikan cabaran BRM FC dan skuad Warga Kota pastinya tidak mahu melepaskan peluang ini untuk mencuba beberapa muka baharu dalam pasukan menerusi proses penggiliran pemain oleh Bojan Hodak.

Siapakah yang mampu ke peringkat seterusnya dan mampukah pasukan liga bawahan membuat magis dan kejutan kerana pertandingan piala seringkali menampilkan keputusan luar jangkaan yang menarik untuk disaksikan semua penyokong menjelang perayaan Aidilfitri.