PENGENDALI Bangladesh, Javier Cabrera ternyata kecewa dengan keputusan perlawanan tetapi berpuas hati dengan corak persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya selepas tewas kepada Bahrain 2-0 pada aksi pertama Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu.

Cabrera  yang mengharaokan keputusan positif daripada perlawanan ini terkilan kerana dibolosi menerusi sepakan sudut tetapi memuji barisannya yang berjaya mengekang asakan pasukan yang 100 anak tangga diatas mereka dalam ranking dunia.

“Saya rasa kami memberikan persembahan yang kompetitif tetapi saya tidak gembira dengan keputusan ini namun pemain saya bermain mengikut pelan yang ditetapkan.

“Kami mensasarkan keputusan yang positif dan kami hampir mencapainya namun dikecewakan oleh gol daripada sepakan sudut dan kami akan mengkaji kelemahan kami untuk menghadapi perlawanan selepas ini,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu jurulatih Bahrain, Helio Sousa pula sudah menjangkakan perlawanan yang sukar dan memaksa para pemainnya untuk bersabar untuk mendapat kemenangan.

Sousa juga terpaksa menggunakan taktikal menerusi ‘set pieces’ untuk memperolehi gol dan akhirnya mereka berjaya untuk mengutip tiga mata yang sangat penting buat Bahrain.

“Kami tahu ianya satu perlawanan yang sukar. Untuk kejohanan yang singkat ianya menambah kesukaran dan kemenangan pertama ini sangat penting.

“Mereka sangat liat untuk ditembusi dan kami perlu bersabar dan menggunakan ‘set pieces’ untuk menewaskan mereka. Kami bermain lebih baik pada separuh masa kedua walaupun terpaksa berhadapan situasi yang asing buat kami,” jelasnya.

Dengan keputusan itu, Bahrain kini memperolehi tiga mata dan sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Malaysia manakala Bangladesh perlu menyusun semula taktikal sebelum bertemu Turkmenistan.