PASUKAN membuka tirai perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam Bangladesh 2-0 pada aksi Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.
Meskipun turun sebagai barisan pilihan, Bahrain nyata bergelut untuk menembusi benteng Bangladesh yang mempamerkan aksi bertahan berdisiplin serta meyakinkan.
Barisan Helio Sousa ini perlu menunggu hingga minit ke-34 untuk membuka tirai jaringan menerusi Ali Abdula Haram yang bijak memanfaatkan ruang di hadapan gawang Bangladesh.
Bangladesh yang mendapat sokongan gemuruh penyokong mereka di Kuala Lumpur jelas tidak terkesan dengan gol itu sebaliknya masih memberikan aksi penuh disiplin yang mengecewakan barisan serangan Bahrain.
Namun tentangan Bangladesh akhirnya terlerai pada minit ke-43 apabila Komail Hasan Al Aswad merembat dari luar kotak penalti menewaskan Anisur Rahman untuk gol kedua Bahrain.
Tiada banyak perubahan berlaku pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan dilihat bergelut dengan keadaan cuaca yang panas dan kesan dari kekurangan perlawanan yang kompetitif sejak dua tahun ini.
Tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan dan Bahrain terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-0 untuk mengutip tiga mata sebelum bertemu Malaysia pada Sabtu nanti.