PENJAGA gol skuad B-23 tahun kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel menganggap aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 tahun di Chonburi, Thailand umpama ‘final exam‘ buat dia dan rakan-rakan sepasukan selepas gagal menyerlah di dua kejohanan sebelum ini.

Dia juga gembira kerana skuad kali ini dibarisi tiga penjaga gol berpengalaman dan dia sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan memberikan kualiti yang dimahukan barisan kejurulatihan bagi membantu pasukan layak ke peringkat seterusnya.

“Semua pemain yang ada dalam skuad ini adalah yang terbaik dan kami mahu dapatkan keputusan yang baik dan layak ke peringkat seterusnya. Kalau tengok ini umpama ‘final exam‘ kerana kita sudah jumpa Thailand di Sukan Sea dan Piala AFF dan kita sudah belajar serta mahukan keputusan terbaik menentang mereka.

“Saya tidak boleh cakap yang saya terlalu yakin kerana semua penjaga gol dalam keadaan yang baik dan tidak risau jika ada yang mengalami kecederaan kerana ketiga-tiga penjaga gol ada kualiti yang terbaik dan jurulatih akan pilih yang terbaik untuk bermain.

“Saya bersedia jika diberi peluang untuk bermain dan akan beri kualiti terbaik jika diturunkan meskipun saya tidak bermain dalam tiga perlawanan terakhir liga kerana kualiti bermain di peringkat kebangsaan berlainan dan perlukan fokus yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sikh juga tidak kisah siapa yang akan diturunkan sebagai pertahanan di hadapannya kerana dia percaya dengan rakan-rakan sepasukan yang tahu tugas yang perlu mereka lakukan dan dia meletakkan Thailand sebagai ancaman terbesar buat skuad negara.

“Kami sebagai penjaga gol perlu mengawal situasi dan tidak mempunyai masalah dalam kelayakan kali ini. Dua lagi penjaga gol juga berpengalaman dan pada saya Thailand bakal bagi cabaran paling besar.

“Saya juga percaya dengan siapa pun barisan pertahanan yang bakal diturunkan kerana masing-masing tahu tugas yang perlu dilakukan ketika di dalam padang,” jelasnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan juara kumpulan akan layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar.