PASUKAN Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC kini dikenali sebagai PT Athletic FC menjelang aksi liga bermula Jun ini.

Menurut pengurusan PT Athletic FC, pertukaran nama itu berkuatkuasa serta merta mulai semalam.

Tambahnya lagi, pasukan itu merupakan sebuah kelab profesional yang berdaftar dibawah Amateur Football League (AFL) serta bebas daripada mana-mana persatuan bola sepak.

“PT Athletic FC beroperasi sebagai organisasi dan kelab bebas kewangan tanpa dibiayai atau dikawal oleh mana-mana persatuan atau agensi kerajaan.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, PT Athletic FC dengan ini tiada kena mengena atau terikat dengan Persatuan Bolasepak Putrajaya (Putrajaya FA) dan Perbadanan Putrajaya (PPj),” menurut pihak pengurusan kelab itu menerusi siaran media.

Pertukaran nama pasukan itu sedikit sebanyak telah membuatkan para penyokong dari Putrajaya tertanya-tanya mengapa pertukaran itu harus dibuat.

PT Athletic akan dikendalikan oleh bekas jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor. (Sumber Gambar: FB PT Athletic FC)

PT Athletic merupakan sebuah pasukan baharu yang ditubuh pada awal tahun ini untuk mewakili bola sepak Putrajaya dalam saingan Liga Malaysia dan akan dibimbing oleh Nazrulerwan Makmor.

Kelab itu telah merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalamam luas dalam Liga Malaysia seperti Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Hafiz Ramdan dan Fandi Othman.