BAHANG kehangatan saingan Kejohanan Ragbi Piala Agong semakin dirasai, apabila juara bertahan, pasukan ragbi Putrajaya melaungkan amaran, berjuang habis-habisan mempertahan gelaran dimenangi edisi lalu.

Membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk mempersiapkan pasukan tahun ini, penyandang juara itu turut menerbangkan empat pemain kebangsaan Fiji yang seorang daripadanya pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil (2016).

Pemain yang meraih pingat emas Olimpik Rio bersama Fiji, Semi Kunatani antara bintang memperkuat skuad Putrajaya menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Putrajaya, Anwarrul Aswad Ahmad berkata, pasukannya tidak main-main dalam melakukan persiapan dan mereka meletakkan 100 peratus tumpuan kepada misi mempertahankan kemenangan.

Meskipun kehilangan 70 peratus pemian berbanding skuad terdahulu, beliau berkata, 30 peratus pemain lama dikekalkan adalah tonggak utama.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Putrajaya, Anwarrul Aswad Ahmad menegaskan skuadnya serius mahu mempertahan kejuaraan tahun lalu.

Pasukan Ragbi Putrajaya mendapat sokongan daripada lapan penaja bagi menghadapi saingan Piala Agong tahun ini.

“Kami tahu bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan sekali lagi. Tetapi saya nak beri amaran kepada kepada pesaing, kami sudah bersedia 100 peratus untuk memberi tentangan.

“Apa yang boleh saya katakan, kami tidak akan beri muka dan akan serang mereka habis-habisan untuk melakar kemenangan bermula di peringkat kumpulan hingga berjuang sehingga di pentas final.

“Pada edisi kali ini, kami membawa empat pemain berkualiti dari Fiji iaitu Pio Tuwai beraksi sebagai jurulatih dan bersedia turun sebagai pemain dan Semi Kunatani (pemenang emas Olimpik Rio), Nadamu Damasino Nolevu, Jaoji Tuni Koromataitini turun sebagai pemain utama.

Pemain kebangsaan Fiji, Pio Tuwai menjadi ketua jurulatih dan bersedia untuk dimasukkan sebagai pemain pada saingan Piala Agong.

“Semua pemain Fiji yang kita bawa masuk adalah yang terbaik dan Kunatani pernah membawa Fiji meraih emas sewaktu di Olimpik Rio. Saya harap gabungan ini dapat membantu Putrajaya kekal cemerlang di Piala Agong,” katanya, selepas Majlis Pengenalan Pasukan Putrajaya dan barisan penaja di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Putrajaya di undi dalam kumpulan maut, akan berdepan juara tiga kali Piala Agong (2010,2011,2012) Kelantan pada 23 September ini.

Selepas itu, mereka akan berdepan juara 2017, Johor pada 7 Oktober dalam aksi Kumpulan A.