JUARA dunia 2019, Pusarla Venkata Sindhu tidak suka mengikut rentak pemain lain dalam menentukan kejohanan yang akan disertai, sebaliknya mengutamakan kondisi fizikal dan mental sebelum memilih kejohanan.
Pemain utama perseorangan wanita India itu berkata, dia tidak kisah apa juga pandangan pemain lain yang memilih untuk berehat atau menjalani latihan pusat sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris, berbanding menyertai Perodua Malaysia Masters (PMM) 2024.
Baginya, kejohanan ini adalah permulaan penting untuknya menilai tahap kesediaan fizikal dan mental sehingga ke saingan di Paris nanti.
“Saya memilih Perodua Malaysia Masters kerana saya sudah bersedia dan giat menjalani latihan. Saya kini berada pada tahap keyakinan 100 peratus.
“Ada pemain Top atau tidak di sini, tiada bezanya kerana jika kami tidak bertemu di Malaysia, mungkin bertemu di kejohanan lain,” katanya yang lebih gemar disapa Sindhu.
Menurutnya, persaingan perseorangan wanita tidak lagi seperti dahulu kerana setiap pemain walaupun tidak ternama, ada kemampuan untuk mengejutkan pemain ranking teratas dunia.
“Sekarang sudah bulan Mei, nanti Jun dan Julai, Olimpik semakin hampir jadi amat penting untuk mahupun pemain lain memastikan diri kekal di tahap tertinggi sehingga tiba Temasya Olimpik nanti.
“Malah saya sentiasa rindukan sokongan dan sorakan penyokong di Malaysia. Peminat badminton di sini sangat membantu dan saya dapat dengar mereka melaungkan nama saya,” ujarnya.
Mengulas mengenai persiapannya untuk ke Olimpik, Sindhu berkata, persiapan dilakukan cukup baik terutamanya selepas mengikuti siri kejohanan di Eropah, sehingga lima kejohanan tanpa henti.
“Memang saya mahukan gelaran di Perodua Malaysia Masters, tetapi saya hanya akan fokus satu perlawanan dalam satu masa.
“Kalau saya memenangi gelaran di sini, sudah tentu menaikkan lagi semangat saya sebelum ke Paris,” kata Sindhu lagi.
Ketika ini, Sindhu tiada masalah melepasi pencabarnya dan kini beraksi di peringkat suku akhir PMM 2024.
Pada pusingan pertama, Sindhu menewaskan pemain Scotland, Kristy Gilmour 21-17, 21-16 sebelum mengatasi Sim Yu Jin dari Korea Selatan, 16-21, 21-11, 21-6.
Hari ini, Sindhu mengatasi pilihan utama kejohanan, Han Yue dari China, 21-13, 14-21, 21-12 untuk ke separuh akhir.