MAJLIS santapan petang sempena kejohanan polo Piala Agong 2023 telah dicemar duli oleh  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Turut kelihatan sama dalam majlis tersebut ialah Qabil Ambak Mahamad Fathil, atlet berkuda Sukan Asia Hangzhou 2023 yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara dressage individu.

Menurut gambar yang dimuat naik di laman rasmi Instagram Istana Negara, Qabil Ambak dilihat sedang memakai pingat emasnya dan turut disembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelas bahawa kegembiraan serta kebanggaan yang Qabil perolehi dapat diraikan bersama dalam majlis santapan petang tersebut.

Sebelum ini, Qabil juga pernah turun padang melihat aksi perlawanan pada kejohanan polo Piala Agong 2023 yang berlangsung di Taman Ekuestrin Putrajaya dan beliau disambut dengan sorakan penuh oleh para penonton yang hadir.

Kejohanan polo Piala Agong 2023 ini sedang berlangsung dari 1 Oktober hingga 14 Oktober 2023 dan menyaksikan pasukan Royal Pahang Polo Club sendiri bertanding dalam kejohanan tersebut.