JUARA dunia Mini GP, Qabil Irfan Azlan diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa ke dalam program pembangunan sukan permotoran negara yang dikelolakan Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan perkara itu, memberitahu, Qabil akan menetap dan bersekolah di Selangor sebagai usaha bagi memudahkan pengurusan latihan berkala, yang perlu dilaluinya di bawah bimbingan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.
Katanya, keluarga pelumba berusia 11 tahun itu juga akan berpindah ke Selangor bagi memberi sokongan penuh terhadap pembangunan kerjayanya sebagai seorang pelumba motosikal.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama pihak SIC akan membantu penempatan baru Qabil Irfan dan keluarganya di Selangor dengan menguruskan pemindahan sekolah untuk adik-beradik dan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian buat ayah Qabil Irfan.
“Pemindahan Qabil Irfan ke Selangor bertujuan memastikan beliau menerima pendedahan, bimbingan dan latihan yang komprehensif dengan menggunakan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan fasiliti sekitarnya sebagai pusat latihan,” kata Hannah menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Menurut Hannah, Qabil akan beraksi dalam perlumbaan FIM Mini GP Malaysia Series 190cc dan Moto4 di Kejohanan Superbike (ESBK) di Sepanyol pada musim 2024.
“Qabil akan menjalani sesi latihan bersama-sama lima atlet lain yang akan berlumba dalam kejohanan di peringkat asia dan antarabangsa,” katanya.
Pada November tahun lalu, Qabil mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol.