OLEH MOHD FARIQ
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) kagum kempen Piala Asia AFC 2023 di Qatar mencatatkan satu rekod baharu apabila menjadi edisi paling ramai dihadiri penyokong dalam sejarah 68 tahun kejohanan.
Pertandingan bola sepak tertinggi Asia itu mencatatkan rekod 1.06 juta penyokong ke stadium selepas perlawanan antara Qatar dan Palestin yang menyaksikan 63,753 penonton membanjiri Stadium Al Bayt di Al Khor.
Lebih-lebih lagi, elemen ini berjaya menguatkan lagi benua Asia yang terdahulu telah diberikan 8.5 slot iaitu 8 automatik dan 0.5 merujuk kepada slot play-off ke ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor John berkata, pencapaian positif itu menandakan tanda aras yang bagus untuk kemajuan bola sepak di benua Asia.
“Sejak awal lagi, kami tahu Piala Asia 2023 akan menggantikannya sebagai edisi paling mudah diakses dan menarik dalam sejarah kejohanan. Bola sepak mempunyai kuasa yang tidak dapat dinafikan untuk menyatukan masyarakat dan tiada tempat yang lebih ketara daripada di Qatar di pentas paling berprestij di Asia.
“Pencapaian ini adalah satu penghormatan kepada peminat kami yang bersemangat dan rakan-rakan kami yang dikasihi daripada Persatuan Bola Sepak Qatar dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan Piala Asia 2023, dan AFC ingin menyampaikan rasa terima kasih kami yang mendalam kepada semua pihak berkepentingan dan rakyat Qatar untuk layanan mesra mereka yang tiada tandingan dan mesra,” katanya kepada FLASH SUKAN di Doha, Qatar pada Rabu.
Menurut Windsor, Qatar yang baru selesai menjayakan tuan rumah Piala Dunia 2022 menyaksikan Argentina muncul juara di Lusail, pada asalnya sedikit cemas dan bimbang faktor kehadiran penyokong tidak memberangsangkan.
“Telahan itu berakhir apabila rekod mencatatkan lebih 1 juta penonton hadir ke stadium. Memang risau kerana selepas penganjuran besar Piala Dunia, di mana arah tuju Qatar kerana sudah mencapai klimaks.
“Qatar juga menjadikan stadium yang bukan piala dunia, Stadium Jassim bin Hamad sebagai venue pertandingan (Bahrain lawan Malaysia) yang berkapasiti kecil sebab bimbangkan soal ‘crowd‘ yang mungkin tidak akan penuh dan kosong serta tiada lagi pilihan lain.
“Tetapi, persepsi AFC berubah. Peminat disajikan aksi kualiti permainan yang bagus serta kehadiran penyokong tempatan dan pelancong yang berada di Qatar, turut sama menonton perlawanan bola sepak Piala Asia.
“Inilah peluang terbaik yang diambil tuan rumah dan sebenarnya ia merupakan masalah yang baik buat Qatar. Bahkan, tiket bagi aksi seterusnya difahamkan telah habis dijual.
“Penganjuran di Qatar adalah berjaya dan pastinya orang ramai turut berpuas hati dan menikmati temasya terbesar bola sepak benua kali ini. Qatar pasti akan gembira kerana peminat telah hadir beramai-ramai dan menjadikannya kejohanan yang berjaya,” katanya lagi.
Selain itu, peminat yang terlepas peluang melihat stadium Piala Dunia pada 2022 dapat kembali melihat sendiri keindahan venue berkenaan depan mata semasa kejohanan Piala Asia kali ini.
Peminat pasti teruja kerana berpeluang berada dekat stadium dan mengabadikan potret sebagai tanda kenang-kenangan sebelum pulang ke negara masing-masing.
Angka 1.06 juta (tidak termasuk dua perlawan) ini juga adalah rekod kehadiran penyokong kedua yang dipecahkan Qatar sebagai tuan rumah selepas rekod kehadiran perlawanan pembukaan tertinggi dengan 82,490 penonton hadir menyaksikan Qatar menewaskan Lebanon di Stadium Lusail.
Semalam, dua perlawanan Pusingan 16 turut merekodkan jumlah kehadiran penonton yang agak baik. Aksi Uzbekistan lawan Thailand di Stadium Al Janoub mencatat 18,691 kehadiran – perlawanan yang diadili pengadil Malaysia (Nazmi Nasaruddin).
Sementara itu, pasukan pilihan Korea Selatan yang mara ke suku akhir menyingkirkan cabaran Arab Saudi merekodkan kehadiran 42,389 pada pertemuan di Stadium Education City.
Qatar menganjurkan Piala Asia untuk rekod kali ketiga selepas berjaya menjadi tuan rumah pada 1988 dan 2011.
Perlawanan akhir akan diadakan pada 10 Februari dan dijangka akan sekali lagi menjadi tontonan paling dinanti-nantikan seluruh dunia.