TUAN rumah Piala Dunia, Qatar dimalukan Ecuador pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan jaringan Enner Valencia memimpin skuad Gustavo Alfaro kepada kemenangan 2-0.
Kemenangan itu membolehkan pasukan dari Amerika Selatan terbabit mendahului Kumpulan A dengan tiga mata, manakala tuan rumah bakal berdepan tugas sukar menghadapi Senegal dan Belanda pada baki perlawanan peringkat kumpulan.
Perlawanan bermula dengan kontroversi apabila Ecuador berjaya membolosi gawang tuan rumah tetapi semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati jaringan itu batal akibat ofsaid.
Kira-kira 10 minit kemudian, Ecuador akhirnya mendapat gol pertama mereka apabila dianugerahkan sepakan penalti. Valencia dijatuhkan di dalam kotak dan menyempurnakan sepakan penalti, meletakkan Ecuador mendahului 1-0.
Malah penyerang itu menambah gol kedua pada minit ke-31 menerusi tandukan cantik ke penjuru kiri bawah gol, menamatkan cabaran Qatar.
Sementara itu, Qatar bagaikan hilang bisa, tidak seperti bayangan sang juara Piala Asia. Mereka gagal mencipta peluang apa lagi menjaringkan gol dan kelihatan sukar bergerak ke depan.
Kemenangan 2-0 itu bukan hanya meletakkan Ecuador di kedudukan teratas kumpulan A dengan 3 mata, malah Valencia juga menjadi penjaring pertama dalam saingan Piala Dunia 2022.