SELEPAS setahun lebih (Disember 2022) skuad Lionel Messi dan Argentina memenangi Piala Dunia Qatar 2022, negara itu sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 yang akan bermula tidak lama lagi.
Bahkan, pasukan-pasukan yang mengambil bahagian telah mula tiba untuk membuat persiapan bagi perlawanan tersebut.
Sebanyak 24 negara bersaing termasuk pasukan kendalian Kim Pan-gon untuk menjadi yang terbaik di Asia. Semua pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan dengan diisi empat negara setiap satu.
Team media FLASH SUKAN juga tidak ketinggalan ingin merasai bahang saingan sukan bola sepak terbesar Asia itu dan baru sampai bumi Jazirah Arab jam 12 tengah hari tadi waktu Qatar selepas menempuh penerbangan kira-kira tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Setibanya di sini, kami merasai kehangatan suhu sekitar 22 darjah Celsius yang tidaklah terlalu membahang. Malamnya pula agak sejuk tapi tidaklah terlalu menggigil.
Jaringan jalan raya yang terbaik dan pengangkutan memudahkan kami untuk bergerak ke bilik penginapan serta lokasi stadium. Pelbagai binaan serba moden dan sebagai sebuah negara Islam, tidak sukar mencari makanan halal yang ‘berlambak-lambak’ serta berdekatan dengan masjid untuk melakukan amal ibadat.
Banyak lagi lokasi di Doha yang belum kami jelajahi, sambil menyusun aktiviti gerak kerja untuk membuat liputan penuh kejohanan Piala Asia 2023 Qatar sepanjang hampir sebulan keberadaan di sini.
Buat pengikut setia Flash Sukan, jangan lupa terus ikuti kami secara dekat menerusi platform media sosial yang akan dikemaskini setiap masa, hanya secara eksklusif buat tatapan anda semua.