DUNIA digemparkan oleh gempa bumi dahsyat yang melanda Selatan Turki dan Utara Syria yang setakat artikel ini ditulis sudah mengorbankan 28,000 nyawa di kedua-dua buah negara dengan pasukan penyelamat dari seluruh dunia sedang giat melakukan proses menyelamat mangsa.
Lain pula buat Qatar yang baru-baru ini berjaya menganjurkan kejohanan Piala Dunia terbaik dalam sejarah dan kini legasi dari kejohanan itu didermakan untuk dapat memberikan bakti kepada masyarakat yang memerlukan.
Qatar menerusi Qatar Fund for Development berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negara Qatar telah menghantar 10,000 rumah boleh ubah kepada mangsa terselamat yang telah kehilangan tempat berlindung akibat kesan gempa bumi itu.
Apa yang menarik, rumah boleh ubah ini adalah sebahagian daripada penginapan yang digunakan oleh para pengunjung asing ketika aksi Piala Dunia sedang berlangsung pada Disember 2022 lalu.
Meskipun mendapat beberapa kecaman oleh penyokong asing yang mempertikaikan kualiti dan keselamatannya, kini terbukti ianya sangat diperlukan oleh mangsa gempa bumi dan pastinya mampu menyelamatkan nyawa dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
The first batch of mobile homes is being deployed as shelters for people affected by Türkiye and Syria earthquake pic.twitter.com/9cfGasi9IW
— Qatar Fund For Development صندوق قطر للتنمية (@qatar_fund) February 12, 2023
Sebelum ini, Qatar juga telah mendermakan 3,000 buah bas yang digunakan sebagai pengangkutan ketika Piala Dunia kepada Lubnan untuk mengatasi krisis pengangkutan di negara itu.
Tidak cukup dengan itu, beberapa kerusi di stadium turut didermakan kepada beberapa stadium di Lubnan untuk menambahbaik kualiti tempat duduk sebagai sebahagian daripada ikrar Qatar untuk menderma infrastruktur Piala Dunia kepada negara-negara membangun.