Foto: FB @queeniediscus
BELUM sampai waktu untuk berehat, kerana ada misi baharu untuk atlet lempar cakera, Queenie Ting capai tahun ini.
Menurutnya, tiada istilah tutup buku kerana dia kini memasuki fasa baru dan ada dianggarkan mencapai ke satu lagi puncak prestasi tahun ini.
Pemilik rekod kebangsaan acara lempar cakera itu berkata, dia amat gembira dengan pencapaian tiga kali memecah rekod kebangsaan termasuk sekali dilakukannya tahun ini di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei lalu.
“Selepas melepasi lemparan 48 meter, 50 (m) dan 52 (m) dengan catatan 52.36 m di Hanoi, sekarang saya sasarkan untuk melepasi jarak 55 meter.
“Saya perlu perbaiki kelemahan dengan menguatkan kaki dan mennigkatkan kelajuan ketika melakukan lemparan,” kata Queenie yang berusia 25 tahun.
Selain itu, dia berkata, dia juga perlu memperbetul teknik balingan bagi memastikan lemparan cakera yang konsisten.
Katannya, dia berdepan masalah konsistensi apabila mampu mencatat rekod yang baik ketika latihan namun gagal mengulanginya ketika menyertai kejohanan.
Jurulatih olahraga (acara lontaran) Mohamad Ali Hamid berkata, sasaran utama atlet bimbingannya itu adalah melayakkan diri ke Sukan Asia tahun hadapan.
“Kita cuba dapatkan kelayakan secara merit menjelang temasya Sukan Asia, September tahun depan, selain itu Queenie akan menyertai beberapa kejohanan tempatan yang terdapat dalam calendar olahraga Malaysia.
“Terkini, Queenie akan menyertai Kejohanan Olahraga Grand Prix Jepun bermula 29 September ini, manakala acaranya berlangsung pada 1 Oktober,” kata Mohamad Ali.
Mohamad Ali berkata, aksi di Jepun itu sebagai season opener dan sasaran buat Queenie adalah untuk konsisten melakukan lemparan melepasi paras 50 meter.
“Apabila dapat konsisten, menjelang Disember tahun ini, saya harap Queenie mampu melepasi jarak 55 meter dan tahun hadapan pula melepasi jarak 58 meter di Sukan SEA (2023),” katanya.
Berdasarkan pencapaian lalu, rekod acara lempar cakera di pentas Sukan SEA dipegang Subenrat Insaeng dari Thailand sejauh 60.33 yang diakukan pada 2019 di temasya yang berlangsung di New Clark City, Filipina.
Sementara rekod Sukan Asia dipegang atlet China, Li Yanfeng sejauh 66.18 meter yang dilakukan pada temasya Guangzhou 2010.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, Queenie kini mula menjalani latihan dalam acara lontar peluru.
“Queenie ada potensi baik dalam lontar peluru, kekuatan bahagian atas badannya sangat bagus dan hanya perlu memperbetul teknik lontaran, namun acara lempar cakera akan tetap menjadi keutamaannya.
“Potensi pada Queenie dalam lontar peluru ini bakal membawa pulangan kemungkinan dua pingat emas di temasya Sukan SEA nanti,” katanya.