PERTAHANAN Selangor FC, Quentin Cheng Jiun Ho memuji gol yang dijaringkan oleh penyerang skuad Jang, Sean Selvaraj kerana menjaringkan gol berkelas dunia.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu mengakui pasukan Selangor FC longgar dalam aspek ketika bertahan melalui set pieces.

Sedar penyokong telah mula melakukan protes, dia menyifatkan perkara tersebut adalah lumrah dalam bola sepak tetapi mengingatkan para penyokong bahawa tugas pemain bola sepak bukanlah suatu yang mudah.

“Saya rasa gol Sean sangat luar biasa. Mereka ada dua setpieces. Kita perlu berlatih semula dan perbaiki dalam aspek itu.

“Secara keseluruhan, kita sangat baik pada separuh masa pertama, namun segalanya berubah pada separuh masa kedua.

“Jika kami tidak beraksi dengan baik, penyokong akan memberi tekanan, menjerit, tetapi kita pemain yang positif. Ia tidak mudah menjadi pemain. Kita akan cuba lebih baik,” ujarnya kepada Flash Sukan setelah tamat perlawanan.

Bertemu Terengganu FC di gelanggang lawan peringkat separuh akhir Piala FA 2022 pada Sabtu, pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan Selangor FC mempunyai peluang yang baik untuk mara ke final namun perlu bermain dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kita ada peluang yang baik. Jika kita bermain pada tahap terbaik. Kita boleh tewaskan mana-mana pemain. Ia bergantung kepada kami. Kita kena bermain dengan baik 90 minit bukan hanya 45 minit macam hari ini,” kata pemain warisan itu.