RACHEL Arnold menyifatkan perlawanan akhir Piala Malaysia Ace agak mengecewakan buat dirinya, bukan kerana terlepas gelaran namun kondisinya yang tidak cukup cergas.

Tampil ke gelanggang dengan pita pelekat di paha kanan, ternyata Rachel yang berada di ranking ke-39 dunia bukan tandingan pemain Mesir, Nour El Tayeb yang berada di ranking keenam.

Bergelut untuk menyamai kekuatan fizikal pemain Mesir itu, Rachel terpaksa akur membenarkan El Tayeb memenangi gelaran pertama di bumi Malaysia, dan ke-15 dalam keriernya.

Rachel Arnold sentiasa mengejar Npur El Tayeb pada final Piala Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan. |Foto PSA World Tour

“Ini bukan terbaik dari saya tapi bukan terburuk. Selepas set pertama, kaki kanan saya mula berasa sesuatu yang pelik, sebab itu prestasi agak merosot,” kata Rachel.

Sementara itu, kemenangan 3-0 ke atas Rachel itu amat melegakan El Tayeb, namun dia sedar sesuatu tidak kena pada Rachel.

Rachel Arnold mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang minggu termasuk menyingkir pilihan kedua dari Mesir, Farida Mohamed.|Foto SRAM

“Saya lihat dia memasuki gelanggang dengan pita di paha.

“Apapun dia (Rachel) telah bermain dengan baik sepanjang minggu ini, begitu juga hari ini.

“Tapi dia tidak dapat bergerak dengan baik, mungkin terlalu penat sepanjang minggu,” kata El Tayeb.

Pilihan kedua Karim Abdel Gawad (kiri) menewaskan pilihan utama Mostafa Asal, 11-8, 12-10, 11-5 pada pertemuan final antara kedua-dua pemain Mesir. |Foto PSA World Tour

Pada final itu, Rachel tunduk 2-11, 4-11, 4-11 dalam tempoh 19 minit, sekali gus El Tayeb memenangi gelaran pertama di Malaysia.

Kali terakhir jaguh Mesir itu beraksi di sini, pada Terbuka Malaysia 2014 namun dia tewas pada perlawanan akhir di tangan rakan senegara yang juga pemain nombor tiga dunia, Raneem El Welily.

Sementara itu, pilihan utama Mostafa Asal dikejutkan rakan senegara dari Mesir, Karim Abdel Gawad yang memenangi perlawanan akhir.

Abdel Gawad menang 11-8, 12-10, 11-5.