BEKAS pemain bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit pada Isnin.

Muhammad Radhi diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, beliau mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dengan majoriti 10,104 undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah dan warga KDA FC turut mengucapkan tahniah buat Muhammad Radhi.

Sepanjang pembabitan sebagai pemain, Muhammad Radhi yang cukup terkenal dengan jolokan Kapten Marvel adalah pemain legenda yang beraksi bersama pasukan Kedah sejak 1986 hingga 2000.

Beliau merupakan pemain Kedah yang telah beraksi tujuh kali perlawanan akhir Piala Malaysia.

Semoga daya kepimpinan sebagai kapten pasukan Kedah suatu masa dulu, digelar Kapten Marvel, FLASH SUKAN mendoakan agar YB Muhammad Radhi diberikan kekuatan untuk berkhidmat dengan cemerlang sebagai EXCO Kerajaan Negeri Kedah.