KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar memuat naik satu video selamat tinggal yang emosional sebagai tanda perpisahan dengan penyokong selepas sah meninggalkan skuad Badak pada jendela perpindahan kedua ini.

Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab itu, Baddrol menyatakan ucapan terima kasih kepada para penyokong Sabah yang sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang dua tahun dia menabur bakti di Kota Kinabalu.

“Kepada ‘fan-fan’ Sabah FC, secara jujurnya saya begitu gembira berada di Sabah dan sejujurnya saya mengharapkan satu lagi sorakan yang padu pada malam terakhir bagi saya malam ini.

“Satu perkataan yang tidak dapat saya lupakan dalam karier saya bermain di Sabah ini adalah perkataan ‘Radu Tetap Radu,” katanya dalam video tersebut.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu turut merasakan Sabah adalah rumah keduanya dan akan kembali ke Sabah jika diberikan peluang selepas ini.

Baddrol akan beraksi buat kali terakhir dengan Sabah FC pada malam ini apabila turun menentang Sri Pahang FC dan FLASH SUKAN difahamkan pihak kelab ada menyediakan segmen khas buatnya selepas tamat perlawanan.

Dia akan mengelilingi stadium untuk bertemu penyokong dan akan membuat ucapan perpisahan sebelum mengadakan sidang media khas buat media.

Terima kasih Baddrol Bakhtiar. Biar jasa jadi kenangan.