TERENGGANU melaungkan amaran menjelang Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7’s) Kebangsaan 2024, apabila membariskan barisan terkuat dalam usaha mempertahan kelaran buat kali kelima.

Manakan tidak, mereka memanggil bekas pemain kebangsaan termasuk kapten 15’s kebangsaan, Nasharuddin Ismail untuk mencapai kegemilangan pada aksi tiga hari di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus bermula 12 Julai ini.

Pengurus pasukan 7’s Terengganu, Aminudin Sulong berkata, pasukan itu mempunyai misi besar, mahu melengkapkan gelaran menerusi kejuaraan kelima selepas menjuarai edisi 2016, 2019, 2022 dan 2023.

“Misi utama kita adalah ingin mempertahankan gelaran pada 2023 tetapi perlu ingat pasukan lain juga memasang azam untuk mengatasi Terengganu.

“Saya yakin, untuk melengkapkan gelaran kelima tidak mudah tetapi ia bukan satu misi yang mustahil. Persiapan pasukan telah dibuat lebih sebulan yang lalu dan mereka semua bersedia untuk memberikan yang terbaik ketika beraksi di laman sendiri.

“Saya harap dengan adanya kapten kebangsaan, Nasharuddin dan pengalaman bersaing di pentas antarabangsa dapat membantu Terengganu mencipta kejayaan kali ini,” katanya, ketika dihubungi.

Terengganu di undi dalam Kumpulan D bersama Perak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Manakala naib juara musim lalu, Negeri Sembilan berdepan tugas berat apabila akan berdepan Putrajaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Kelantan dalam Kumpulan B.

Namun saingan Kumpulan A dijangka sengit apabila Johor diundi bersama Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur, manakala dalam Kumpulan C, Pahang akan berdepan Sarawak dan Perlis.