KETUA Jurulatih PDRM Ragbi, Duke Krishnan K. Dinesvaran, tidak dapat menyembunyikan rasa bangga setelah pasukannya berjaya menjulang Kejuaraan Ragbi Piala Agong Edisi ke-40.
Berdepan Johor dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium UiTM, pasukan PDRM mempamerkan strategi yang mantap dan aksi yang berdisiplin, memastikan kemenangan mutlak 43-29.
Duke menjelaskan bahawa separuh masa pertama bukanlah mudah buat pasukannya, namun beliau tekankan bahawa kunci kejayaan adalah meminimumkan kesilapan.
“Saya sudah beritahu pemain sepanjang minggu bahawa kita hanya perlu berhenti buat kesilapan, dan permainan akan menjadi lebih mudah. Pasukan ini sudah cukup bagus. Dengan pemain yang sihat dan program latihan yang tersusun, kami mampu beraksi dengan keyakinan penuh,” ujarnya.
Sebagai jurulatih yang turut meraih kejuaraan sebagai kapten tahun lepas, Duke mengakui perbezaan besar antara kedua-dua peranan tersebut.
“Sebelum ini, sebagai pemain, saya hanya risaukan diri sendiri, tapi sebagai jurulatih, setiap pemain adalah tanggungjawab saya. Di sinilah bantuan jurulatih Yusli Ramli amat bermakna. Dia membantu saya banyak dalam menguruskan emosi dan berinteraksi dengan pemain,” jelas Duke, sambil menzahirkan penghargaan kepada Yusli yang menjadi sumber inspirasi dan panduan sepanjang kempen Piala Agong ini.
Duke juga mendedahkan bahawa PDRM kali ini mengemukakan barisan muda yang penuh potensi, berikutan kehilangan sembilan pemain awal musim ini.
“Kami kehilangan beberapa pemain bukan polis, jadi untuk membentuk pasukan yang kuat dengan pemain muda adalah cabaran besar.
“Tetapi dengan semangat ingin belajar yang tinggi dalam kalangan pemain muda, serta bantuan daripada jurulatih dan rakan sepasukan, kami berjaya membentuk pasukan yang kukuh,” tambahnya.
Motto pasukan PDRM, “WIN” atau What’s Important Next (Apa yang Penting Selanjutnya), menjadi inspirasi besar yang membawa pasukan ini ke puncak kejayaan.
“Mentaliti ‘W-I-N’ ini sangat penting, terutamanya di saat-saat genting. Kami mengingatkan pemain untuk fokus kepada apa yang penting seterusnya dan jangan mengalah, walaupun keadaan nampak sukar.”
Dengan kejayaan PDRM menjulang Piala Agong edisi kali ini, Duke Krishnan optimis bahawa pasukan yang dibina dengan penuh disiplin dan semangat kesatuan ini mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.