MAHU menebus kehampaan tersingkir di peringkat kumpulan tahun lalu, Kelantan tampil dengan wajah baharu dalam misi mencabar kejuaraan Kejohanan Ragbi Piala Agong yang akan bermula 23 September ini.

Kali ini, pasukan Pantai Timur itu mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan, Shahir Ashraf Rosdi yang diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih.

Kelantan turut memperkuatkan pasukan mereka dengan tiga tonggak import dari Fiji dan lima pemain kebangsaan.

Jurulatih Kelantan, Shahir Ashraf Rosdi yakin dengan kemampuan pemainnya yang dibarisi lima pemain kebangsaan dan tiga import berpengalaman daripada Fiji.

Anak buah Shahir diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Putrajaya dan Johor.

Shahir mengakui dia memikul tanggungjawab besar, kerana tugas ini adalah yang pertama buatnya selaku jurulatih di peringkat senior.

“Mungkin kelebihan yang saya ada kali ini adalah pemain yang terpilih ini pernah bersama saya menjalani latihan. Jadi, mudah untuk saya mencongak strategi menjelang pertembungan dengan Johor mahupun Putrajaya.

“Saya juga bersyukur bahawa pasukan Kelantan, diperkuatkan tiga pemain berpengalaman dari Fiji dan sedikit sebanyak dapat memperkukuhkan barisan skuad kita terutama pasukan yang lebih baik.

Pasukan ragbi Kelantan yang menggalas cabaran di Piala Agong pada sidang media di Kelab Golf UPM, Serdang.

“Apapun, laluan ke separuh akhir bukan mudah kerana pasukan yang bersaing di Piala Agong semuanya mempunyai pengalaman tertinggi dalam Piala Agong.

“Jadi, kita perlu menganalisa satu demi satu pasukan yang kita jangka akan berdepan di separuh akhir,” katanya, yang kali terakhir beraksi di Piala Agong dan menjuarai saingan tersebut bersama Terengganu pada 2019.

Sebagai rekod, Kelantan sebelum ini pernah mencatat hatrik apabila menjuarai Piala Agong pada 2010, 2011 dan 2012.