NAIB juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC), masih belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan bagi mendapatkan khidmat penjaga golnya, Rahadiazli Rahalim.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas, penjaga gol itu sebaliknya masih terikat kontrak sehingga hujung 2025 malah tetap dalam perancangan TFC untuk musim depan.

Justeru itu beliau berkata, desas-desus mengaitkan penjaga gol skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan itu dengan pasukan lain hanya bersifat spekulasi tanpa sebarang hitam putih.

“Abey (Rahadiazli) masih bersama TFC, beliau belum meninggalkan pasukan ini malah kita juga tidak ada terima tawaran mana-mana kelab untuk mendapatkannya secara pinjaman.

“Lagipun beliau masih mempunyai kontrak dua tahun dan saya optimis masih ada masa depan bersama TFC serta berada dalam perancangan pasukan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 3 people, people playing American football, people playing football, studded shoes and text

Rahadiazli mula mencipta nama sejak dua tahun lalu di bawah kendalian Mohd. Nafuzi Zain dan sering berada dalam kesebelasan utama termasuk final Piala FA pada musim lalu.

Masa depan penjaga gol tinggi lampai itu menjadi tumpuan selepas gagal merebut tempat selaku benteng terakhir TFC dengan hanya tujuh penampilan dalam semua pertandingan musim ini.

Masalah kecederaan termasuk digugurkan pada Sukan Sea Kemboja, Mei lalu, turut menyebabkan kejatuhan prestasi pemain itu yang sebelum ini dianggap prospek masa depan TFC dan Harimau Malaya.

Rahadiazli kini giat mengembalikan prestasi dan kembali tersenarai bersama skuad Harimau Muda kendalian Juan Torres Garrido yang sedang beraksi perlawanan persahabatan di China.