PENJAGA gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim bakal tampil buat kali kedua bersama skuad bimbingan Kim Pan-gon selepas kali terakhir gagal ditempatkan dalam kesebelasan utama disebabkan pandemik Covid – 19.

Jelasnya, dia tidak pernah membandingkan dirinya dengan dua lagi penjaga gol yang bakal bersaing mengisi kekosongan sebagai penjaga gol utama setelah ketiadaan penjaga gol pilihan, Farizal Marlias.

Mengulas tentang kondisi Rahadiazli, dia kini telah pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami sebelum ini ketika berdepan Melaka United FC.

Pemain berasal dari Kuala Terengganu itu turut berharap agar diberi peluang oleh jurulatih berasal dari Korea Selatan itu kerana dia hadir dengan semangat untuk menampilkan aksi terbaik meskipun usianya baru mencecah 21 tahun.

“Dengan Pan-gon, Ini penampilan kali kedua. Kali pertama itu tidak sempat disebabkan Covid-19.

“Bagi saya, itu semua tidak penting. Yang penting dalam diri saya, saya perlu bekerja lebih keras lagi. Syihan dan Kalamullah juga ada kelebihan masing-masing.

“Kalau diberi peluang, kesilapan-kesilapan saya akan perbaiki dan buat yang terbaik. Kondisi saya sebenarnya selepas keluar dari hospital, saya rehat dua hari, selepas itu saya dah mulakan latihan. Kondisi saya telah berada pada tahap 100 peratus.

“Saya ambil komen tersebut sebagai satu motivasi kepada diri saya sendiri,” katanya.