PEMAIN sayap, Raheem Sterling secara rasmi telah menyertai Arsenal melalui status pinjaman dari Chelsea selama satu musim.
“Raheem Sterling telah bergabung dengan kami dengan status pinjaman selama semusim dari Chelsea. Semua orang di Arsenal menyambut Raheem di kelab. Kepindahan ini masih dalam proses penyelesaian regulasi,” tulis pihak Arsenal melalui laman rasmi kelab.
Perekrutan Sterling oleh Arsenal dilakukan pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris pada Jumaat. Chelsea memutuskan untuk melepaskan Sterling ke Arsenal selepas pemain sayap berusia 29 tahun itu tidak termasuk dalam rancangan permainan jurulatih Enzo Maresca.
“Halo Gooners, Raheem di sini. Saya sangat gembira dapat menyertai Arsenal. Saya tidak sabar untuk melihat anda semua di Stadium Emirates yang merupakan stadium yang luar biasa, lapangannya seperti karpet. Jadi saya tidak sabar untuk bertemu anda semua dan menunjukkan kemampuan yang saya boleh berikan,” kata Sterling.
Kontrak Sterling bersama Chelsea sebenarnya baru akan berakhir pada 2027. Namun, bekas pemain Manchester City dan Liverpool itu memilih untuk menyertai Arsenal selepas tidak pernah dimainkan oleh Maresca.
Sejak dibeli dari Man City pada Julai 2022, Sterling tampil dalam 81 perlawanan dan menjaringkan 19 gol untuk Chelsea. Musim lalu, Sterling bermain dalam 43 perlawanan dan menjaringkan sepuluh gol.
Perekrutan Sterling berlaku tidak lama selepas Arsenal meminjam penjaga gol asal Brazil, Neto, dari Bournemouth. Sebelum ini, Arsenal sudah membeli Riccardo Calafiori dari Bologna dan Mikel Merino dari Real Sociedad.
Dengan status perpindahan yang belum sepenuhnya selesai, Sterling kemungkinan besar belum akan dapat memperkuat Arsenal ketika melayakan Brighton & Hove Albion malam ini.