MUNCUL atlet pertama merangkul pingat emas temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, pemanah negeri Perak Nur Jannaton Abdul Jalil tidak menyangka sama sekali dirinya dinobatkan sebagai Atlet Terbaik temasya itu.
Graduan Fizik Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu merangkul tiga pingat emas pada temasya kali ini, menerusi acara Compound Wanita Terbuka Individu.
“Tidak percaya dan tidak pernah berangan untuk meraih anugerah ini kerana saya fikir Amanah yang diberi. Selepas kontinjen menaruh harapan ke atas saya, saya hanya mahu mencuba yang terbaik.
“Saya terfikir betul ke saya layak menerima anugerah ini? Apa kebaikan yang saya buat sehingga mencapai kejayaan ke tahap ini,” katanya, yang membantu pasukan compound berpasukan campuran meraih emas di Para Asean Surakarta pertengahan tahun ini.
Menurutnya, dia mahu memperbaiki teknik dan memperkemaskan panahan.
Begitupun, Nur Jannaton mengakui banyak lagi perlu diperbaiki dan dipelajari kerana dia menyimpan hasrat besar untuk layak ka temasya Paralimpik Paris, 2024.
Nur Jannaton meraih emas dalam acara 50 meter (m) individu, pusingan Olimpik individu dan 50m pasukan campuran bergandingan bersama Zafi Rahman Mat Saleh.
Panahan 638 mata dalam acara 50m individu berjaya meletakkan Nur Jannaton dalam senarai 25 atlet terbaik dunia dan lima terbaik Asia untuk acara compound wanita.
“Saya juga mahu cuba menghasilkan keputusan yang terbaik di Sukan Para Asia Hangzhou di China tahun depan selain memperbaharui rekod peribadi di Kejohanan Para Dunia nanti,” katanya.
Atlet Terbaik Lelaki Para Sukma 2022 pula dianugerahkan kepada atlet olahraga F55 Melaka, Mohammad Zikri Zakaria selepas menang tiga pingat emas dalam acara Lempar Cakera, Merejam Lembing dan Lontar Peluru.