TATKALA berbicara tentang bola sepak, tentunya banyak nama yang meniti di bibir peminat bola sepak seluruh dunia. ‘Raja Bolasepak Dunia’ yang diberi nama Pele adalah seorang pemain yang sangat hebat dalam dan di luar padang.
Gelaran Pele diberikan kepadanya kerana dia sangat meminati seorang penjaga gol Brazil pada ketika itu yang bernama Bile. Nama sebenarnya adalah Edson Arantes Nascimento namun rakan terdekatnya lebih gemar memanggilnya dengan nama Edson.
Dia memulakan kariernya di Sau Paulo, Brazil bersama kelab, Bauru AC pada usia 16 tahun. Kehebatannya mula dikesan ketika bersama Santos apabila rembatannya disifatkan sangat tepat dan memiliki potensi besar menerjah jaring.
Selain itu, legenda Brazil itu turut mempunyai keupayaan untuk menggunakan kedua-dua kakinya untuk mengelirukan pertahanan lawan. Dia juga sangat pantas dan sukar dikejar pasukan lawan yang ingin merampas bola daripadanya.
Malah, Pele juga memiliki nafsu berterusan untuk melakukan jaringan dari sudut yang tidak disangka-sangka pemain lain. Uniknya, pemain ini juga berjaya memikat hati pengurusan Brazil pada ketika itu dengan menyerap masuk Pele pada usia seawal 16 tahun ke pasukan Brazil untuk beraksi di Piala Dunia.
Bakat luarbiasa pemain ini menyebabkan Presiden Brazil pada ketika itu enggan melepaskan pemain ini untuk berhijrah ke kelab Eropah yang lain kerana dia menyifatkan Pele sebagai harta karun bagi pasukan Santos dan Brazil.
Di luar padang, Pele juga mampu mendamaikan sesebuah negara. Buktinya, Perang Saudara di Nigeria pada tahun 1969 dihentikan semata-mata untuk menyaksikan pemain Brazil itu.
Untuk rekod, Pele telah bersama kelab Santos selama dua dekad dan berjaya menjulang kejuaraan di Liga Brazil sebanyak enam kali, 2 kali merangkul International Cup dan dua kali berjaya merebut gelaran Copa Libertadores.
Penampilannya di Brazil juga cemerlang apabila berjaya merangkul Piala Dunia dalam tiga edisi iaitu Piala Dunia 1958 di Sweden, 1966 di England dan 1970 di Mexico. Di Mexico, ia adalah kali pertama aksinya berjaya dilihat dengan warna televisyen.
Sepanjang aksinya di Piala Dunia, dia berjaya mencetak 12 gol dalam 14 penampilan di Piala Dunia. Di hujung pembabitannya sebagai pemain, Pele mengakhiri kariernya bersama kelab New York Cosmos pada tahun 1975 hingga 1997 dan berjaya merangkul Trofi NASL Soccer Bowl.